Baginda bertitah, segala aktiviti lawatan ke luar negara yang tidak mendatangkan faedah kepada kerajaan negeri juga mesti dihadkan.

“Kita mesti mengamalkan perbelanjaan berhemah dan ber­usaha untuk menambah hasil dengan mencari sumber baharu yang lebih konsisten.

“Pada tahun lalu, kerajaan berjaya mengutip hasil RM1.66 bilion dan mengawal perbelanjaan tidak melebihi pendapatan hingga mampu mempunyai lebihan hasil seba­nyak RM119 juta,” titah ba­ginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis pembukaan penggal kelima persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, di Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Titah baginda disampaikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Yang turut hadir Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sultan Ibrahim mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri yang terus berjaya mengekalkan prestasi pengurusan kewangan dengan cemerlang pada 2016 sekali gus berjaya merekodkan lebihan hasil selama enam tahun berturut-turut.

“Tahniah saya ucapkan kepada pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam pembangunan ekonomi negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah, pada tahun lalu, Johor mendapat nilai pelaburan dalam bidang pembuatan paling tinggi di negara ini dan buat kali keempat berturut-turut berjumlah RM26.41 bilion.

“Kejayaan yang dicapai me­nunjukkan Johor ada kelebihan dan meyakinkan pelabur dari dalam dan luar negara. Saya percaya satu hari nanti, visi negeri Johor untuk menjadi pusat ekonomi utama di rantau ini akan dapat dicapai,” titah baginda.