Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam pembangunan golongan OKU termasuk memastikan mereka dapat hidup berdikari dan mendapat pekerjaan.

Beliau berkata, Unit Penempatan Pekerjaan OKU di negeri ini turut berjaya menempatkan seramai 127 pekerja OKU dalam pelbagai bidang dan mereka juga menerima gaji minimum seperti pekerja lain.

Menurutnya, hingga kini Johor telah mempunyai 73 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menempatkan seramai 1,908 pelatih di PDK, manakala 572 pelatih di rumah.

“Selain itu, seramai 453 orang penyelia dan petugas PDK yang melatih golongan OKU, mendidik dan membentuk anak-anak OKU di PDK telah menerima kenaikan elaun RM200 seorang dengan peruntukan keseluruhan kerajaan negeri sebanyak RM90,600.

“Menaik taraf bengkel sampul surat OKU di Batu Pahat dengan peruntukan sebanyak RM200,000 yang apabila siap nanti akan membuka peluang pekerjaan kepada 50 OKU untuk bekerja dan meningkatkan pendapatan mereka.

“Di samping itu, bagi memastikan golongan OKU pekak dan bisu menerima pendidikan awal yang lebih berkualiti, kerajaan negeri selaku negeri pertama membina taska dan tadika untuk golo­ngan tersebut di YPJ Youth Centre, Bukit Senyum, Johor Bahru dengan peruntukan sebanyak RM300,000,” kata semasa merasmik­an Festival Kesenian dan Kebudayaan OKU Negeri Johor 2017 di Laman Tun Sri Lanang, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Hamimah Mansor; ADUN Sedili, Rasman Ithnain; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kasim dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rosnah Sardi.

Asiah yang juga ADUN Johor Lama berkata, selain bantuan daripada kerajaan negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi JKM turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti bantuan kebajikan dan perkhidmatan soko­ngan untuk golongan OKU.