Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua orang pastinya tidak akan pernah mampu berterima kasih dan membalas segala jasa dan pengorbanan mulia guru-guru mereka.

“Tidak ada sorang pun daripada kita akan menjadi bijak, mahir, bervisi, kreatif, matang, arif dan dewasa tanpa sentuhan dan santun seorang guru.

“Johor adalah antara negeri bertuah yang terbangun dengan kehadiran ramai guru yang berdedikasi,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Guru, hari ini.

Justeru, beliau mendoakan supaya jasa dan sumbangan bakti mereka dirahmati dan menerima balasan yang baik.

“Kepada semua guru, saya ucapkan Selamat Hari Guru. Terima kasih cikgu,” katanya. - UTUSAN ONLINE