Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut secara langsung dapat memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan susulan dan seterusnya mengatasi masalah banjir.

“Sudah tentu PBT dan pejabat daerah mempunyai rekod mengenai kawasan yang kerap dinaiki air setiap kali tiba musim hujan sebelum ini.

“Setelah kita sudah mengenal pasti punca tersebut, maka kita dapat membuat perbandingan dengan kajian terdahulu bagi mencari langkah terbaik me­ngatasi masalah banjir daripada berulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Kota Kecil, dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menyatakan rasa kesal terhadap tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan gambar dan berita palsu mengenai situasi banjir dalam laman sosial.

Beliau berkata, banyak gambar banjir yang berlaku beberapa tahun lalu baik di negeri ini atau di negeri lain dimuat naik oleh pengguna siber dikaitkan dengan ne­geri Johor sehingga mengelirukan banyak pihak.

“Saya lihat ada memuat naik gambar banjir yang berlaku beberapa tahun lalu, ada juga gambar di Orchard Road, Singapura tetapi dikaitkan pula dengan ne­geri ini.

“Banyak aduan diterima me­ngenai perkara ini dan saya berharap orang ramai tidak mudah mempercayai berita yang disebarkan,” katanya.