Pengerusi Lembaga Pengelola SRI Johor Bahru, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi menjangkakan pertemuan itu akan merungkai permasalahan tersebut dan membuahkan hasil yang positif.

“Kami berkeyakinan penuh bahawa insya-Allah satu jalan keluar yang sangat berhikmah dan murni serta menggembirakan semua pihak akan dapat dicapai bagi menjaga nama baik institusi-institusi Islam dan kepentingan pembangunan nege­ri Johor.

“Pertemuan ini bagi mencari jalan penyelesaian dan menyampaikan suara hati seluruh warga kompleks pendidikan ini. Kami percaya Menteri Besar mampu menjadi orang tengah dalam hal ini,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Sri Johor Bahru 2017 di Dewan Besar Kompleks Islam Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSJB, Norazman Mohd. Shato dan Guru Besar Sekolah Rendah Islam Johor Bahru, Dr. Norsheila Fisal.

MAIJ memberikan notis pengosongan tanah tersebut pada tahun lalu untuk memberi laluan kepada Perbadanan Islam Johor (PIJ) membina sebuah kondominium di atas tapak sekolah itu.

Bagaimanapun pihak sekolah memohon tempoh itu dipanjangkan tiga hingga lima tahun lagi untuk mencari lokasi baharu sebelum diserahkan kepada PIJ sepenuhnya untuk projek tersebut.

SSJB mula dibuka pada 1989 yang mempunyai sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah tadika dan sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) dengan bilangan keseluruhan 700 pelajar.