Malah, kebaikan berendam air panas juga dikhabarkan boleh menghilangkan lenguh sendi atau sakit badan akibat bekerja berat dan sebagainya.

Ini mungkin disebabkan kan­dungan sulfur tinggi menyebabkan air tersebut panas dan mampu memberi kelegaan dan antara sumber mata air panas sering menjadi tumpuan ramai adalah yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Maharani Bandar Diraja, Muar.

Lebih menarik, kolam utama Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Sungai Gersik di Sungai Balang, dekat sini bukan sahaja menyediakan ruang berendam yang dilengkapi bumbung, bahkan terdapat kolam untuk kanak-kanak mandi-manda pada suhu air yang normal.

Perjalanan kira-kira 15 minit dari Pekan Parit Jawa, pengunjung perlu memasuki sedikit kawasan kampung dan melewati kediaman penduduk untuk tiba ke kolam tersebut.

Di sini pengunjung bukan sahaja merendam kaki, malah boleh terus berenang sebelum mencuba pula laluan refleksologi yang cukup menyegarkan.

Kemudahan di pusat rekreasi ini dilengkapi surau, bilik mandi dan persalinan, chalet, pondok wakaf, gerai makan, ruang parkir termasuk untuk orang kurang upaya (OKU), pentas utama dan padang turut tersedia bagi memudahkan pengunjung.

Tidak cukup dengan itu, kemudahan wifi yang kini menjadi satu kemestian kepada orang ramai turut tidak ketinggalan apabila sebuah menara pemancar peralatan tersebut dipasang di dalam kawasan tersebut.

Menurut sejarah, Kolam Air Panas Sungai Gersik ini ditemukan oleh Abd. Rahman Irshad atau lebih dikenali sebagai Haji Abd. Rahman Getu pada tahun 1911 selepas kerja penerokaan dilakukan sejauh 2.5 kilometer ke bahagian pedalaman kampung tersebut yang ketika itu masih diliputi hutan belantara.

Diceritakan Abd. Rahman ma­suk ke dalam hutan bagi mencari linau dan akar kayu untuk membina pondoknya. Selepas semua barang yang dikehendaki diperoleh dan dikumpul, beliau ternam­pak sebuah tasik kecil berdia­meter kira-kira tiga meter yang dipenuhi lumpur dengan airnya menggelegak dan berasap sehingga mengalir ke sekitarnya.

Bimbang sesuatu yang tidak baik dan dipenuhi rasa takut, Abd. Rahman bergegas keluar dari tempat itu, meninggalkan linau dan akar kayu yang sudah dikumpulnya sehingga beliau tersesat.

Selepas semalaman dalam hutan, Abd. Rahman dapat mene­mukan jalan keluar dan terus pulang ke rumah, sebelum menceritakan penemuan kolam itu kepada penduduk kampung.

Anehnya, kolam misteri yang menjadi bualan tidak dapat ditemui selepas kerja mencari dilakukan oleh penduduk sehinggalah Abd. Rahman dan rakannya pergi semula ke hutan untuk mencari linau, akar kayu dan rotan sebelum menemukan semula kolam air panas itu.

Kali ini mereka membuat beberapa tanda supaya lokasinya dapat dijejaki dan siapa sangka penemuan secara kebetulan itu akhirnya bukan sahaja kini menjadi destinasi tarikan pelancongan, malah turut membantu menjana ekonomi penduduk setempat.