Kehebatan para penari profe­sional mengayakan pelbagai rentak tari diselang-selikan de­ngan drama serta iringan muzik menambah seri Festival Hujung Medini: Zapin Rumpun Melayu yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), baru-baru ini.

Seramai 400 peserta mengambil bahagian dalam festival selama dua hari itu yang turut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Negara ini diwakili kumpulan Yayasan Warisan Johor (YWJ). Lebih memeriahkan festival, pengiat seni pelbagai kaum seperti kumpulan Sri Rayyar Fine Arts, Soka Gakkai Malaysia dan penari Majlis Kebudayaan Daerah serta Orkestra Warisan Jauhar turut membuat persembahan.

Indonesia pula membawa kumpulan Seri Melayu Pekan Baru-Riau, Taratak dan Jambi D’jangat, Pekan Baru, manakala Singapura menghantar Kumpulan Sri Warisan, Kumpulan Sriwana dan Kumpulan Azpirasi.

Setiap negara dipimpin pengarah persembahan, iaitu On Jaafar bagi Malaysia dan masing-ma­sing Singapura serta Indonesia di bawah kendalian Som Mohd. Said dan Tom Ibnur.

Festival tersebut diadakan sebagai salah satu usaha mereali­sasikan aspirasi kerajaan negeri yang diilhamkan oleh Menteri Besar supaya Johor menjadi Hab Festival.

Usaha itu juga bagi menjadikan negeri ini sebagai Pusat Tama­dun Melayu Antarabangsa serta menggalakkan sektor pelanco­ngan menerusi penganjuran festival serta acara-acara kesenian.

Sementara itu, Zulkurnain ber­kata, festival yang julung kali diadakan itu bertujuan menghimpun, berkongsi ilmu dan pengalaman, selain menyemai semangat jati diri penggiat dan penari zapin dari ketiga-tiga negara serumpun.

“Johor dikenali umum sa­ngat kaya dengan khazanah seni budaya, sejarah dan tamadun silamnya. Warisan seni budaya yang tinggi nilainya ini wajar dikongsi bukan sahaja dalam negara, malah di seluruh pelusuk alam Melayu dan kepulauan rantau Melayu,” katanya.

Menurutnya, festival bercirikan muzikal tari itu akan dijadikan program tahunan bagi memartabatkan seni warisan Melayu tersebut.

Sebelum ini, Johor telah beberapa kali menganjurkan festival antarabangsa seperti Festival Ghazal Antarabangsa 2005, Festival Zapin Nusantara, Festival Melayu Antarabangsa Johor 2000, Festival Keroncong Nusantara 2010 dan Festival Muzik Antarabangsa 2013.