Suasana itu sebenarnya bukan sesuatu yang asing bagi sebahagian masyarakat yang mengenali warga emas berusia 61 tahun itu yang membawa penyapu dan bungkusan makanan ringan untuk dijual di sekitar daerah ini.

Meskipun tanpa kedua-dua belah kaki yang terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis, Tukimin tidak pernah menganggap keadaan fizikalnya itu sebagai penghalang dirinya untuk mencari rezeki.

“Saya mula berniaga dengan menjaja penyapu dan bertih jagung menggunakan motosikal sejak dua tahun lalu. Ketika itu kedua-dua kaki masih ada tetapi kesihatan dah mula terganggu kerana penyakit kencing manis yang dihidapi sejak 1986.

“Sebelum itu, saya juga pernah menjual pakaian terpakai di pasar malam dan kemudian berniaga sayur-sayuran kampung ekoran tahap kesihatan yang semakin lama semakin merosot,” katanya ketika baru-baru ini.

Tukimin berkata, berikutan keadaan itu, dia membuat keputusan untuk mengambil upah menjual penyapu lidi dan bertih jagung dengan menaiki motosikal di pasar tani, pasar LYC dan pasar raya Econsave, Bukit Gambir di sini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, dia berniaga bukan kerana tidak memperoleh keperluan mencukupi atau diabaikan oleh anak-anak, tetapi sebagai terapi apabila bertemu pelanggan.

“Anak saya dua perempuan dan seorang lelaki, yang perempuan telah berkahwin dan tinggal bersama keluarga masing-masing, manakala anak lelaki berusia 25 tahun kini bertugas sebagai askar. Saya tidak mahu bebankan dia dan tidak pernah meminta wang daripada anak-anak.

“Kalau mereka hulur, saya ambil tak kira berapa jumlahnya dan hasil jualan inilah yang menampung saya dan isteri, Mujiah Hussain, 67,” katanya sambil memberitahu memerlukan lampin pakai buang sebanyak enam bungkus sebulan.

Selain itu jelasnya, sumba­ngan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 membantu dia dan isteri membeli barangan asas, manakala rawatan di hospital secara percuma, kecuali hanya perlu mengeluarkan duit minyak.

“Saya cuma keluar duit minyak dan bantuan daripada rakan-rakan yang boleh membawa saya ke hospital untuk tempoh beberapa bulan sekali. Anak ada tinggalkan kereta di rumah untuk kegunaan kami, tetapi kerana tiada kaki, saya terpaksa meminta bantuan daripada jiran-jiran untuk memandu,” katanya sambil tersenyum.

Tukimin dan isteri kini menetap di rumah yang dibina hasil wang simpanan menjual pakaian terpakai sebelum ini, namun bimbang kerana kediaman itu dibina bukan di atas tanah miliknya.

“Saya bimbang kalau tanah itu diambil, sedangkan kami masih belum ada tempat tinggal lain. Dengan hasil yang tak seberapa ini, agak mustahil kami boleh beli tanah atau rumah dalam tempoh terdekat,” katanya.