Walaupun perlu menunggu puluhan tahun, Teh Mohamad yang pernah jatuh dan bangun dalam menjalankan perniagaan kecil-kecilan akhirnya dapat berkongsi dengan orang luar tentang keunikan Sedili menerusi makanan.

Dengan mengusahakan Restoran Resipi Ibu Selera Sedili, dia berkongsi keenakan Mi Sedili yang menjadi menu utama di restorannya yang disajikan bersama-sama seekor ikan laut seperti selayang, kembung atau pelaling.

Terletak sebelum Jambatan Haji Md. Lazim Tanjung Sedili jika dari bandar Kota Tinggi, ibu kepada enam orang anak itu menjalankan perniagaan tersebut bersama-sama anak kedua­nya, Rini Sharida Hazran, 39, sejak tiga tahun lalu.

Keenakan Mi Sedili yang lebih dikenali sebagai mi rebus oleh penduduk tempatan yang dinikmati Teh pada zaman kanak-kanak dengan harga 50 sen semangkuk, tidak pernah lekang daripada ingatannya dan sebab itu dia mahu berkongsi keenakan mi tersebut dengan orang ramai secara memper­kenalkan Mi Sedili pada harga RM5 semangkuk.

Mi Sedili, mihun kuah yang dihidangkan dengan seekor ikan, sayur sawi Jepun dan sambal kicap yang dijual di restoran itu sudah ditambah baik dengan resipi tersendiri oleh Teh dan kini me­rupakan hidangan yang lengkap.

“Yang paling penting dalam menyediakan Mi Sedili adalah ikan yang digunakan mestilah segar selain sambal kicap dihidangkan dengan cili merah dan hijau yang dipotong,” kata Teh kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Dia yang mesra dipanggil Mak Teh memberitahu, sejak duduk di rumah selepas tidak lagi meng­usahakan kedai serbaneka lebih 15 tahun lalu, fikirannya sentiasa melayang memikirkan apa yang boleh diketengahkan untuk memperkenalkan Sedili dan keenakan hidangan itu menjadi pencetus idea untuk memper­kenalkan Mi Sedili sekali gus merupakan antara individu terawal menjualnya di kawasan berkenaan.

Kini ternyata usaha serta kegigihan Mak Teh untuk memperkenalkan Sedili menerusi hidangan mula menampakkan hasil apabila orang ramai me­ngunjungi restorannya terutama pada hujung minggu.

Sedap! Itulah reaksi spontan penulis dan jurugambar, Nur Aisyah Mazalan sejurus mencuba Mi Sedili buat pertama kali serta keunikan dan keenakan hida­ngan itu boleh dijadikan salah satu produk pelancongan ke Sedili.