Namun, kuih tradisional tersebut bukan hanya disajikan pada musim perayaan, khususnya Hari Raya Aidilfitri, malah turut menjadi hidangan pada hari-hari biasa kerana mendapat permintaan bagi majlis-maj­lis lain seperti perkahwinan dan sebagainya.

Menjelang sam­butan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi sudah tentu permintaan terhadap dodol dijangka me­ningkat untuk hidangan tetamu yang berkunjung ke rumah nanti.

Seorang pengusaha dodol tradi­sional, Zakaria Omar, 48, dari Kampung Permatang Palas, Benut dekat sini mengakui telah menerima tempahan daripada orang ramai sejak dua ming­gu sebelum ketibaan Ramadan.

Menurutnya, kerja-kerja bagi membuat dodol dipermudahkan dengan penggunaan mesin yang telah diubah sesuai bagi menggantikan pengunaan tenaga manusia yang lebih cepat berban­ding tradisional, namun cara pembuatannya tetap sama menggunakan tiga bahan utama, iaitu santan, pulut yang telah dikisar halus dan gula Melaka selain ditambah dengan perisa seperti durian mengikut permintaan pelanggan.

“Kaedah dan cara pembuatannya mengikut apa yang dipelajari oleh orang tua dahulu, semua tidak lagi menggunakan te­naga manusia tetapi menggunakan mesin, namun keaslian tetap dipelihara.

“Bagi setiap kuali atau kawah, saya menggunakan 16 kilogram (kg) santan, 16 kg gula Melaka dan tujuh atau lapan kg pulut. Santan dan gula Melaka dimasak bersama sebelum dicampur ke dalam pulut yang dimasak di kawah berasingan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Kerja-kerja memasak dan menyediakan bahan-bahan turut dibantu oleh isterinya, Roslina Bahari, 47, serta anak-anak dan mengambil masa antara lima hingga enam jam.

“Walaupun menggunakan mesin dengan dua bilah ‘pendayung’ bagi menggantikan kayu pengacau dodol, namun proses itu perlu dilihat setengah jam sekali bagi mengelakkan berlakunya kerak,” katanya sambil mene­gaskan bahawa kerak akan menjejaskan kualiti dodol kerana tidak ‘licin’ seperti biasa.

Menggunakan jenama Dodol Asli Warisan yang diusahakan sejak empat tahun lalu, pada musim pera­yaan, dia akan menggunakan lapan kawah bagi memasak dodol untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Zakaria atau lebih dikenali sebagai Pak Ya mengakui dapat menghasilkan kira-kira 4,000 kilogram dan jumlah itu meningkatkan sehingga 10,000 kg pada musim perayaan.

Selain menjual terus kepada pelanggan, dia turut menghantar dodol kepada pemborong kuih-muih seperti di Putrajaya, Angsana Johor Bahru Mall, Mersing dan Kuala Terengganu.

Dibungkus dengan berat sete­ngah kg, dodol tersebut dijual pada harga RM10 dan manakala di dalam botol yang sesuai dijadikan cenderamata berharga RM12.

Zakaria bercadang untuk membesarkan lagi perusahaan dodolnya yang kini beroperasi di belakang rumah serta menambah produk seperti wajik, rempeyek, kerepek pisang dan bahulu.

Selain membuat dodol, mereka sekeluarga turut menerima tempahan katering bagi majlis perkahwinan dan jamuan lain.