Pemanduan sejauh itu pasti berbaloi kera­na sebaik sahaja pe­ngunjung menyusur keluar di Persimpa­ngan Bukit Gambir da­ri Lebuhraya Utara-Selatan yang hanya kurang 10 kilometer ke kampung tersebut, mereka ‘disambut’ de­ngan pemandangan sa­­wah padi nan menghijau atau menguning pada musim menuai.

Nyata projek desastay yang merupakan sebahagian program inap desa diusahakan penduduk Kampung Sawah Ring menawarkan pengalaman yang tidak dapat ‘dibeli’ di mana-mana.

Kini, terdapat 10 buah rumah penduduk menyertai projek tersebut sejak 2015 setelah me­rangkul juara Anugerah Desa Sejahtera (ADS) peringkat daerah.

Bermula dengan kejayaan itu, mereka merangkul pula tempat ketiga dalam ADS peringkat negeri sebelum mengorak langkah lebih jauh menerima kehadiran pengunjung yang mahu bermalam ala desa di Kampung Sawah Ring.

Biarpun tidak kerap mendapat tempahan pengunjung, namun kedatangan aktif para pelancong luar untuk merasai suasana dan pengalaman kampung sentiasa ada sama ada hanya untuk berehat pada hujung minggu atau menjalankan program berkaitan.

Pelbagai tarikan lain terdapat di Kampung Sawah Ring selain daripada menginap di rumah penduduk yang leng­kap fasilitinya, termasuk produk in­dustri kecil dan sederhana (IKS), permainan tradisional dan aktiviti santai sentiasa melambai ke­datangan pe­ngunjung.

Perusahaan mi si­put, pusat tanaman cendawan, aktiviti memancing di Sungai Gerisek atau sawah dan bermain wau an­tara yang perlu dilawati atau dicuba pe­ngunjung.

Menurut Pengerusi Desastay Kampung Sawah Ring, Hussein Mujip, konsep desastay adalah pengunjung menginap bersama-sama tuan rumah, namun tetap menjanjikan keselesaan dan kebebasan kepada tetamu kerana pemilik memberi ruang sepenuhnya kepada pengunjung.

“Pada masa ini kebanyakan kami menjalankan program ini secara individu, iaitu menerima tempahan pengunjung mengikut cita rasa mereka tetapi jika ada program khas misalnya pada Disember depan melibatkan 80 pengunjung, tuan rumah tidak dapat lari dan perlu tinggal bersama-sama tetamu mereka.

“Dengan cara itu, kita lebih dekat dengan mereka dan dapat menceritakan lebih lanjut apa tarikan yang ada di Kampung Sawah Ring,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Hussein memberitahu, pe­ngunjung turut menjadikan desastay mereka sebagai tempat untuk menjalankan program-program pendidikan, menyiap­kan kertas kerja atau bagi pe­ngunjung yang ingin berehat daripada kesibukan kota.

“Pelancong dari Singapura kerap menginap di sini dan pa­ling tidak saya lupakan pada Aidilfitri lalu, sebuah keluarga menyewa rumah kami untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri beramai-ramai secara meriah dan penuh kegembiraan,” kata­nya.

Sementara itu, Pengerusi Ko­perasi Lestari Sawah Ring Ber­had, Minhad Saidon berkata, pihaknya menerima sejumlah geran daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk menggerakkan aktiviti di kampung itu yang disalurkan menerusi koperasi berkenaan.

“Pada masa akan datang, kami bercadang untuk memperluaskan program desastay ini dengan lebih menarik termasuk mewujudkan penginapan berkonsepkan kontena di bawah koperasi berkenaan.

“Hal ini kerana kedudukan Kampung Sawah Ring amat stra­tegik, ditambah dengan berope­rasinya Hab Pendidikan Pagoh yang terletak tidak jauh dari sini,” katanya.