Penyertaan aktiviti riadah berke­naan bukan sahaja berjaya menarik ri­buan penggemar dari seluruh negara, malah dari negara jiran seperti Si­ngapura, Thailand dan Indonesia serta turut dijadikan acara perjumpaan tahunan dalam kala­ngan mereka.

Di daerah ini, beberapa acara berbasikal turut diadakan seperti Tanjung Piai Outdoor Gathering, Fun Ride D Peladang, Kayuhan Koperasi, Kayuhan Amal dan Jelajah ke Taman Negara Tanjung Piai.

Walaupun tidak dianggap sebagai jambori tetapi cukup untuk menjadi tempat bagi penggemar aktiviti berbasikal mengenali daerah Pontian yang mempunyai laluan berbukit seperti di Pekan Nanas.

Nyata peserta daripada kelab tempatan seperti Pekan Nanas Cycle Club, Shimano Bicycle Team, CGS Biker, IPD Biker, Pontian Biker Club, Benut Cycling Club (BCC) selain persatuan di peringkat sekolah dan jabatan kerajaan sering menyer­tai aktiviti yang dianjurkan.

Pegawai Daerah Pon­tian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah semasa menyampaikan hadiah acara Ka­yuhan Santai anjuran Majlis Belia Daerah (MBD) Pontian menyambut baik usaha menjadikan daerah ini lokasi aktiviti berbasikal.

Menurutnya, ikon pelan­congan utama, Tanah di Penghujung Benua Asia tentu menjadi tarikan utama bagi orang ramai untuk sampai ke kawasan tersebut dengan berbasikal.

“Selain aktiviti basikal bukit, laluan landai di perkam­pungan tradisional juga boleh menjadi tarikan yang pasti memberi cabaran lebih menyeronokkan apabila melalui ladang kelapa sawit mahupun nanas.

“Sejajar dengan konsep pelancongan berasaskan alam sekitar, mereka juga boleh singgah di beberapa destinasi pelancongan seperti Muzium Nanas, Muzium Bugis, Kukup Laut, Rumah Tradisional Bugis dan berakhir di Taman Negara Tanjung Piai,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd, Shukri berkata, pihak­nya bersedia untuk memberi kerjasama kepada kelab basikal tempatan untuk menganjurkan aktiviti lebih besar pada masa akan datang bagi menyemarak dan memeriahkan lagi program seumpama itu.

Sementara itu, Yang Dipertua MBD Pontian, Iskandar Selamat berkata, kejayaan program Kayuhan Santai ini akan menjadi galakan dan dorongan bagi penganjuran pada masa depan.

Walaupun dihebahkan menerusi media sosial, namun sambutan penggemar aktiviti berbasikal amat baik termasuk dari daerah Batu Pahat, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru iaitu melibatkan lebih 200 peserta.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program pertama dianjurkan MBD bagi mendekatkan lagi pertubuhan ini dengan orang ramai,” katanya sambut menyambut baik saranan Mohd. Shukri supaya program itu dijadikan acara tahunan.

Wakil penganjur bersama Ke­lab Berbasikal Benut (BCC) Mohd. Rashid Sahid turut menjalin kerjasama dengan pelbagai jabatan kerajaan dan swasta bagi menjalankan aktiviti mereka sejak ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu.

“BCC menyambut baik sekiranya Pontian juga mempunyai acara berbasikal yang besar bagi menarik ramai penggemar me­neroka pelbagai keunikan daerah ini,” katanya.