Program yang julung kali itu adalah anjuran Pejabat Parlimen Pasir Gudang dengan kerjasama Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelepasan program berkenaan yang melibatkan lebih 200 peserta terdiri daripada anggota PDRM, individu persendirian serta ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd. Aziz; timbalannya, Deputi Superintenden Norazam Syaari dan Ketua Pegawai Pembuatan CCM Cawangan Pasir Gudang, Mukri Harun.

Normala berkata, kayuhan sejauh 20 kilometer itu antara lain bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos ini.

“Sempena tema sambutan kemerdekaan negara kita tahun ini, Negaraku Sehati Sejiwa, ia adalah bertepatan dengan program yang kita anjurkan ini.

“Kita sehati sejiwa melakukan aktiviti ini sambil mengibarkan Jalur Gemilang, sambil memberi bantuan sumbangan kepada mereka memerlukan khususnya di kawasan Parlimen Pasir Gudang,” katanya.

Selain itu, katanya, menerusi program tersebut, Pejabat Parlimen Pasir Gudang menyumbangkan kewangan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada tiga penerima.

Tiga penerima tersebut terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas iaitu Fauziah Che Lah, 58, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta jantung, Hapsah Abdullah, 71, (buah pinggang kronik) dan Muhammad Auaran Kutty, 71, (kanser prostat).

Normala berkata, pihaknya akan melakukan lawatan susulan dengan tiga penerima tersebut bagi membantu keperluan lain termasuk memberi peralatan contohnya mesin jahit untuk membolehkan mereka berdikari dan menambah pendapatan.