Manakan tidak, dianggarkan 15,000 pengunjung tempatan dan luar membanjiri segenap ruang dataran itu untuk melihat dan menyertai program-program menarik yang disediakan.

Karnival itu selain menawarkan produk kraf serta industri kecil dan sederhana (IKS), mengadakan pertandingan memanah, ken­deraan tercantik, parang dan keris tercantik, mountain bike, busana Melayu dan lain-lain.

Antara kelainan festival itu adalah pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat seni pembuatan pelbagai kraf melalui demons­trasi yang diadakan pengusaha terlibat.

Karnival anjuran Pertubuhan Amal Melayu Labis dengan kerja­sama Pusat Khidmat Ahli Parli­men Labis itu menampilkan produk kraf seperti keris dan parang, kraf kayu hanyut, seramik, rotan, batik serta hasil rimba dari seluruh negara.

Selain pameran turut diadakan persembahan hiburan serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan mar­ha­ban dan nasyid serta kenderaan tercantik.

Pengarah Program, Mansor Birat berkata, karnival tersebut yang memasuki tahun kedua penganjurannya memberi pendidikan mengenai seni dan warisan bangsa Melayu.

“Contohnya penganjuran per­tandingan keris dan parang serta busana Melayu memberi pe­luang untuk kita melihat hasil kraf terbaik dari seluruh negara yang mana boleh dijadikan panduan ketika mereka menghasilkan produk sendiri.

“Program ini sedikit sebanyak membantu pengusaha kraf dan IKS tempatan mempromosikan produk sambil menimba ilmu yang boleh mencetus idea bagi menghasilkan produk-produk baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai pengalaman baharu turut dirasai terutama acara memanah tradisional dan sukan pedang atau blade sport yang jarang diadakan di daerah ini.

Karnival itu menjadi lokasi pertama penganjuran sukan pedang di negeri ini manakala acara memanah tradisional pula merupakan kali kedua di Labis dan merupakan antara daya penarik.

Ini kerana peserta acara memanah mengenakan busana Malayu bergaya seperti hulubalang Melayu di zaman silam malah ada yang tampil dengan persalinan tradisional siap dengan keris.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim ketika menyempurnakan penutupan rasmi karnival tersebut menyifatkan penganjurannya sebagai satu acara meraikan wari­san Melayu.

Katanya, oraang Mela­yu harus berasa bangga dengan warisan tingalan nenek moyang mereka dan sentiasa bersedia memperkenalkan kepada kaum lain dengan cara yang betul bagi menge­lakkan sebarang salah faham.

Menurutnya, keunikkan serta keistimewaan warisan Melayu harus dihayati orang Melayu dan dalam masa sama usaha untuk mengekal dan mengangkatnya ke suatu tahap yang tinggi juga harus dilakukan secara berterusan serta mendapat sokongan semua pihak.

“Kita kena faham, warisan Melayu ini begitu luas dan besar pengertiannya yang tidak akan mampu disingkap apa yang tersirat jika tiada sebarang usaha untuk memartabatkannya secara berterusan.

“Seni budaya dan warisan bangsa meliputi gaya hidup, peradaban, seni mempertahankan diri, senjata dan makanan harus sentiasa dihargai serta ditonjolkan mengikut kesesuaian masa kini,” katanya.