Malah, sains kimia turut menyediakan bidang kerjaya yang amat penting kerana khidmat ahli kimia amat ditagih dan diperlukan dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan, pertanian dan sektor pembuatan.

Lantaran itu, bagi memastikan ahli kimia sentiasa mempunyai 'pelapis', satu program pendidikan, iaitu Karnival Kimia Johor 2015 diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn, dekat sini baru-baru ini.

Karnival anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Kimia Malaysia Cawangan Selatan dengan kerjasama Jabatan Kimia negeri, American Chemical Society Malaysia dan IPG Tun Hussein Onn itu disertai kira-kira 300 pelajar di negeri ini.

Pengarah karnival, Dr. Mohd. Bakri Bakar berkata, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang karnival dua hari itu, antaranya syarahan kimia, demonstrasi kimia interaktif, pameran inovasi kimia, pertunjukan sains serta pertandingan yang melibatkan bidang kimia.

Menurutnya, program edisi keempat itu dianjurkan bagi memupuk minat dan mendedahkan pelajar terhadap pendidikan dan penyelidikan melibatkan sains kimia serta memberi peluang kepada mereka mempelajari sains di luar kelas.

"Aktiviti yang disusun diharap dapat merangsang minda pelajar untuk terus menerokai dan mengalami sendiri pengalaman dalam bidang sains.

"Selain itu, satu seminar keselamatan makmal juga diadakan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada guru-guru dan pembantu makmal dalam melaksanakan amali sains di sekolah masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia.

Karnival tersebut dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains UTM, Prof. Dr. Norsarahaida Saidina Amin dan turut dihadiri oleh Pengerusi Institut Kimia Malaysia Cawangan Selatan, Soh Song Chaw serta Ketua Jabatan Kimia Fakulti Sains UTM, Prof. Madya Dr. Zaiton Abdul Majid.

Mohd. Bakri berkata, karnival itu merupakan kesinambungan program yang telah bermula tahun 2011 sempena Tahun Kimia Antarabangsa, namun kali ini dianjurkan di luar kampus UTM bermula di daerah Batu Pahat sebelum diteruskan di daerah-daerah lain.

Sementara itu, Norsarahaida berkata, pelajar kini amat digalakkan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif supaya mereka dapat bersaing secara kompetitif .

Beliau yakin karnival tersebut dapat melahirkan golongan pemikir muda yang berupaya mencetuskan idea untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada manusia, khususnya di Malaysia.

"Saya melihat aktiviti disusun dapat merangsang minda pelajar untuk terus meneroka bidang sains dan mengalami sendiri pengalaman berinteraksi dengan sains secara praktikal," katanya.

Jelas beliau, pendekatan secara holistik yang menggabungkan unsur pembelajaran dan penyelidikan mampu membantu pelajar menyelami dengan lebih mendalam tentang sesuatu perkara menerusi pembuktian saintifik.