Ibu kanak-kanak itu, Noor Ha­­limatun Hashim, 37, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu menghidap penyakit kulit yang jarang ditemukan hingga menyebabkan kulitnya rapuh, mudah pecah dan terluka.

Katanya, penyakit anaknya itu disedari sebaik dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini apabila terdapat luka kecil pada bahagian kakinya yang kemudian menjadi semakin te­ruk hingga merebak ke anggota badan yang lain.

“Sewaktu bayi, Muhammad Hazril Mikhail terpaksa dima­sukkan ke dalam sebuah inkubator di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pada mulanya, doktor tidak dapat menentukan apa penyakit yang dihidapi anak saya.

“Sayu hati saya melihat tubuh kecilnya penuh dengan luka dan disuntik dengan jarum. Saya tidak dapat menerima hakikatnya ketika itu,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pelancongan Wanita negeri, Liow Cai Tung di rumahnya di Bandar Seri Alam, di sini baru-baru ini.

Noor Halimatun kemudian memutuskan untuk berhenti kerja sebagai kakitangan pentadbiran hotel pada awal tahun ini untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Hazril Mikhail dan dua lagi cahaya matanya yang berusia 11 dan 12 tahun.

“Dalam tempoh empat tahun pertama, saya sering kemuru­ngan kerana doktor memberi­tahu kami setakat ini tiada lagi rawatan untuk penyakit anak saya.

“Namun, apabila Muhammad Hazril Mikhael sudah makin besar dan mula bercakap, dia me­nunjukkan tanda-tanda kekuatan dan kasih sayang kepada kita yang membuat saya lebih bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Noor Halimatun yang sangat tabah mengharungi dugaan dan cabaran perlu mencuci luka Muhammad Hazril Mikhail setiap hari yang menelan kos sebanyak RM45 sehari untuk kit mencuci, pembalut dan kain kasa berubat sahaja.

Keluarganya terpaksa menampung kos perubatan kira-kira RM4,000 sebulan dan cuma bergantung kepada suami Noor Halimatun, Hizar Omar, 43, yang kerja sebagai tukang masak selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).