Namun, nasib setiap insan berbeza dan kadang-kala keadaan semasa yang terdesak menjadikan mereka seorang pengemis ataupun gelandangan.

Menyedari hakikat itu, sekumpulan komuniti yang menggelarkan kumpulan mereka #KamiPedulik tampil untuk meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan ini.

Kumpulan yang terdiri daripada 20 individu berusia antara 20 hingga 38 tahun itu bukanlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar sebaliknya hanya sekumpulan sahabat yang berkongsi keprihatinan mengurangkan beban manusia yang tidak bernasib baik.

Namun, kerja-kerja amal yang mereka lakukan bukanlah sedikit. ‘Feed The Homesless’ (FTH) merupakan antara program yang se­ring dianjurkan kumpulan ini sejak ditubuhkan pada 2015.

Menurut seorang pengasas kumpulan itu, Mohd. Nasir Sarimin, 37, FTH yang diadakan pada 26 Mei lalu merupakan edisi kelima yang mereka anjurkan.

Menerusi program terbabit jelas Mohd. Nasir, mereka akan meng­agihkan sumbangan berupa barangan keperluan asas buat gelandangan di sekitar Bandaraya Johor Bahru.

“Pada asalnya, saya serta beberapa rakan lain tergerak hati memberi sumbangan kepada golongan kurang upaya. Namun, selepas berbincang, kami terfikir adalah lebih baik jika kami tubuhkan satu pasukan sukarelawan agar sumbangan dapat diagihkan dengan lebih teratur dan menyeluruh.

“Tidak sangka, program kali pertama yang kami anjurkan tiga tahun lalu mendapat sambutan yang cukup luar biasa. Ramai rakan-rakan serta orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan daripada segi barangan mahupun tenaga.

“Sejak itulah, FTH menjadi satu acara rutin buat kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program FTH di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Nasir, menerusi FTH, kumpulan #KamiPedulik serta mana-mana individu yang berhasrat untuk ikut serta menjadi sukarelawan akan berkumpul di suatu tempat dan menyediakan atau membungkus barang-barang keperluan yang disumbang oleh orang ramai untuk diagih-agihkan kepada gelandangan.

Antara barangan yang sering disumbangkan termasuklah makanan kering seperti biskut, mi segera, air kotak dan roti selain barang-barang kebersihan diri seperti berus dan ubat gigi, sabun mandi dan syampu serta pisau pencukur.

“Selepas semuanya sedia, kami akan bergerak dalam dua atau tiga kumpulan di sekitar Bandaraya Johor Bahru untuk mencari gelandangan. Kebiasaannya, kami akan memulakan operasi selepas tengah malam memandangkan ketika inilah mudah untuk kita mengesan gelandangan.

“Namun, kadang-kala, disebabkan lebihan bungkusan, kami tetap memberikan sumbangan ini kepada sesiapa sahaja yang kami temui dan jika masih terdapat lebihan, kami akan sedekahkan barangan yang dikumpul kepada mana-mana rumah kebajikan,” katanya yang menjelaskan selain FTH, kumpulan #KamiPedulik turut aktif membantu golongan asnaf, anak yatim dan rumah orang-orang tua sama ada bergotong royong membersih­kan asrama dan kediaman golo­ngan ini ataupun menyampaikan sumbangan barangan keperluan.

Menurut Mohd. Nasir, golongan gelandangan di Bandaraya Johor Bahru tidaklah sebanyak golongan terbabit di ibu kota Kuala Lumpur dan kebanyakannya juga ada mempunyai pekerjaan tetap tetapi tidak mempunyai tempat tinggal.

Katanya, setiap kali program tersebut diadakan, mereka mene­mukan kira-kira 50 hingga 70 gelandangan sahaja.

“Kami harap, dengan usaha kami dan sumbangan yang tidak seberapa ini, ia akan dapat mengu­rangkan sedikit beban golongan gelandangan serta orang miskin dan kami mempunyai impian besar untuk meneruskan dan mengembangkan lagi program seperti ini pada masa akan da­tang,” katanya.