Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, mereka perlu menjadi benteng hadapan kerajaan bagi memperbetulkan persepsi negatif sebahagian anggota masyarakat akibat terpe­ngaruh dengan fitnah pembangkang.

“Mereka juga perlu peka dan arif mengenai dasar kerajaan serta isu-isu semasa bagi memberi penjelasan selain menjawab segala tohmahan pembangkang untuk mengelakkan rakyat te­rus terkeliru,” katanya semasa meras­mikan Bengkel Kecemerlangan Kepemimpinan Jawatankuasa Aktiviti Kemas Parlimen Segamat 2018 di Dewan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, warga Kemas wajib mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada kerana tiada yang lebih komited bagi meningkatkan taraf hidup rakyat biarpun se­ring menerima cemuhan daripada pembangkang.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kakitangan Kemas Parlimen Segamat supaya terus menyediakan perkhidmatan ber­-
kualiti kerana mereka merupakan kakitangan barisan hadapan yang menjadi penghubung pertama antara masyarakat dan jabatan.

Norshida berkata, sebagai kakitangan sebuah agensi yang sentiasa berurusan dengan masyarakat, warga Kemas perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan menjadi penentu tanggapan positif orang ramai terhadap organisasi tersebut.

Selain itu, masyarakat terutamanya ibu bapa juga dinasihatkan supaya menghentikan segera sikap membanding-ban­dingkan corak pengajaran dan pembelajaran di tabika Kemas dengan tabika lain sama ada yang dijalankan oleh agensi kerajaan lain atau swasta.

Katanya, setiap tabika mempunyai pendekatan berbeza dan apa yang membezakannya adalah dari segi kemahiran serta pendekatan antara guru selain ibu bapa, namun mempunyai tujuan yang sama, iaitu memberi pendidikan awal yang terbaik untuk kanak-kanak.

“Warga Kemas perlu memberikan contoh terbaik supaya mereka akan sentiasa diiktiraf sebagai agensi yang membantu rakyat bukan sahaja pada masa kesusahan, malah setiap masa.

“Kakitangan Kemas perlu memikul tanggungjawab dan amanah besar dan memerlukan dedikasi dan kekuatan yang besar, sekali gus melahirkan sebuah bangsa dan negara yang berjaya selari dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.