Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya bimbang kejadian sama berulang sekiranya tiada pemeriksaan menyeluruh dilakukan.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal yang diterima, kejadian itu berlaku ekoran kegagalan sistem salur air hujan menampung limpahan air dari bumbung kerana kekurangan paip air buang (RWDP).

“Limpahan air telah meresap ke dalam permukaan tembok dan menyerap di dalam tanah serta didapati pemadatan di belakang tembok betoflor mengguna pakai tanah berbanding pasir dipadatkan seperti amalan kebiasaan.

“Selain itu, dikhuatiri intercept drain mengalami kegagalan dan menyebabkan air menyerap ke dalam tanah dan memberi tekanan lateral terhadap tembok,” katanya ketika melakukan lawatan ke sekolah berkenaan semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Ja­watankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Koperasi dan Keusahawanan negeri, Ismail Mohamed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, tembok sepanjang 21 meter dan berketinggian 4.5 meter tinggi runtuh hingga mengaki­batkan tiga pintu masuk dewan dan saliran longkang rosak.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku selepas hujan lebat dan kerugian yang dialami dianggarkan mencecah RM150,000.

Ayub berkata, Ikram sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan akan melakukan pemantauan dalam masa terdekat.

“Kita turut meminta agensi tersebut membuat kajian menyeluruh struktur tanah di sekolah ini dan kawasan sekitar agar tidak berlaku kejadian sama.

“Bagi tindakan awal, kanvas litup bumi di sepanjang tembok yang runtuh akan dipasang bagi mengelak air meresap ke dalam tanah dan mengelak berlakunya pergerakan tanah yang boleh memberi kesan terhadap struktur tembok yang lain serta blok kantin,” ujarnya.