Yang Dipertua Juita, Datin Rosni Omar berkata, sejak 2016 pihak­nya menganjurkan program Kemahiran Bakeri dan Pastri yang memberi fokus untuk menambah kemahiran golongan tersebut seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.

“Menerusi program tersebut, lebih RM650,000 telah diperuntukkan bagi menjayakan lima kursus jangka pendek selama tiga hingga lima hari yang memberi manfaat setakat ini kepada 250 peserta di Pasir Gudang, Kota Tinggi, Mer­sing, Muar dan Segamat.

“Ini merupakan satu bukti bahawa golongan wanita berpendapatan rendah dan sederhana tidak pernah disisihkan untuk menempuh arus pembangunan yang semakin mencabar ketika ini,” katanya semasa berucap merasmikan program Latihan Kemahiran Bakeri dan Pastri di Kolej Komuniti Segamat baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Ma­nap; Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Hafiz Ahmad dan Pengurus Perbadanan Tabung Pembia­yaan Pembangunan Kemahiran (PTPK), Shahrizal Ithnin.

Rosni yang juga isteri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti PTPK dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Menurutnya, peserta bukan sahaja diberi ilmu kemahiran, malah turut didedahkan dengan pengetahuan serta teknik pemasaran dan peralatan asas untuk menjalankan aktiviti keusahawanan.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan peserta merebut peluang daripada perkemba­ngan pesat dunia teknologi untuk memperkenalkan produk mereka secara dalam talian.

“Sebaik manapun produk yang dihasilkan tidak memberi makna dan tidak akan mendatangkan hasil jika tidak dapat dipasarkan secara meluas kepada pengguna.

“Program yang akan dite­rus­kan ini diharap dapat membantu bukan sahaja dari aspek ilmu kemahiran, malah mampu meningkatkan pendapatan serta mengubah kehidupan golongan sasar,” katanya.