Sama ada barangan berjenama antarabangsa, mahupun produk tempatan, berharga puluhan ribu ringgit ataupun hanya dua tiga ringgit, semua ada dijual di sini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Johor Bahru berjaya muncul sebagai destinasi membeli-belah pilihan, bukan sahaja untuk warganya, malah rakyat negara ini serta pelancong asing, khususnya dari Seberang Tambak.

Dengan munculnya beberapa pusat beli-belah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan menjadikan Johor kini boleh dianggap sebagai ‘syurga’ membeli-belah yang baharu.

Antara pusat beli-belah yang menjadi tumpuan selama ini Johor Premium Outlet (JPO), City Square, Komtar JBCC, [email protected], Angsana Johor Bahru Mall, Plaza Pelangi dan AEON Tebrau.

Namun kini, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan de­ngan bermulanya operasi pusat beli-belah baharu, antaranya KSL City Mall, IKEA Tebrau dan Paradigm Mall.

Pastinya setiap pusat beli-be­lah berkenaan menawarkan pengalaman yang berbeza-beza, mengikut cita rasa, kehendak dan keperluan setiap individu.

Bagi yang ingin mencari barangan berjenama, antara pilihan yang boleh dibuat ialah di pusat beli-belah seperti Komtar JBCC kerana terdapat pelbagai jenama terkemu­ka dunia yang dijual di situ, antaranya butik Dr. Martens, Ske­chers, Marks and Spencer, Pierre Cardin, Adidas, Chanel, Estee Lauder dan Sephora.

Bagi yang mempunyai anak-anak kecil, pelanggan juga boleh membawa mereka berhibur secara sihat dengan mengunjungi Taman Aktiviti Angry Birds yang diilhamkan daripada aplikasi permainan popular.

Sementara itu, bagi yang mahu mencari produk dengan cita rasa tempatan boleh memilih beberapa pusat beli-belah bersesuaian seperti Angsana Johor Bahru Mall dan [email protected]

Kedua-dua pusat beli-belah tersebut sering menjadi tumpuan pe­ngunjung setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal kerana menawarkan pelbagai produk, khususnya kelengkapan untuk meraikan pe­rayaan Hari Raya Aidilfitri.

Namun, bagi peminat fesyen atau produk ‘indie’ juga tidak ketinggalan kerana boleh mengunjungi Kilang Bateri mahupun Uptown Pandan.

Kepada yang tidak gemar untuk berbe­lanja, namun suka melakukan aktiviti win­dow shopping, mereka boleh merasai suasana dan persekitaran setiap pusat beli-belah yang terdapat dalam bandar raya ini.

Justeru, andai ingin mencari bara­ngan yang dihajati atau ber­belanja, Johor kini menawarkan semua­nya.

Cuma periksa poket, usah mem­bazir.