Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, skim itu akan membolehkan pemilik yang layak untuk menyewa rumah tersebut dahulu sebelum membelinya.

Menurut beliau, skim baharu itu akan diperkenalkan pihaknya menerusi Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang bakal diadakan bulan depan.

“Kerajaan negeri komited de­ngan matlamat untuk menyediakan peluang perumahan kepada semua rakyat negeri ini kerana sedar rumah adalah keperluan asas yang utama.

“Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan skim itu seperti sewa bulanan dan syarat kelayakan akan diumumkan semasa penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang akan berlangsung pada 6 hingga 14 Oktober ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan Kunci RMMJ di Taman Scientex di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan Pengarah Eksekutif Taman Scientex Pasir Gudang, Alex Khoo.

Dalam program tersebut, se­ba­nyak 701 unit RMMJ dan Rumah Komuniti Pakej B te­lah disiap­kan dan sedia untuk diduduki pembelinya.

Seorang pembeli, Hairul Anuar Masrol, 36, berkata, dia amat bersyukur dan gembira kerana akhir­nya memiliki rumah kediaman sendiri.

“Saya sudah menyewa selama 10 tahun sebelum ini. Saya amat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh hari ini kerana akhirnya saya mempunyai rumah sendiri.

“Dengan harga RM150,000, saya amat berpuas hati,” ujarnya yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak.