Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Tan Hong Pin berkata, keputusan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap isu cap dagang di bangunan lama dekat sekitar Bandar Maharani, dekat Muar, baru baru ini.

"Perkara itu dibangkitkan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam rentetan daripada pemakluman yang dibuat oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM).

"Makluman berkenaan merujuk kepada keperluan menjelaskan lesen pengiklanan termasuk cap dagang dan ianya turut terpakai kepada sebarang bentuk tulisan budaya masyarakat seperti Cina, Tamil dan Jawi," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hong Pin berkata nilai sentimental setiap bangunan bersejarah merentas keturunan harus dipertimbang dan  langkah penyelesaian harus meraikan nilai sejarah tanpa merosakkan sebarang imej warisan negara majmuk ini.
 

"Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tindakan penguatkuasaan itu dan akan meminda serta memperkemas garis panduan yang digunapakai pada masa sekarang.

"Lantaran itu, pindaan garis panduan tersebut akan berteraskan Agenda Perbandaran Baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutama dengan menghormati kepelbagaian budaya, melindungi tinggalan sejarah dan mewujudkan masyarakat bersifat menyeluruh sekaligus mampu meningkatkan kesejahteraan hidup semua.

Beliau turut berkata, tindakan sedemikian sewajarnya tidak berlaku ketika Malaysia meraikan bulan Kemerdekaan dan menghampiri Hari Malaysia yang mengangkat nilai kepelbagaian.

Minggu lepas, sebuah laporan berita berbahasa Mandarin menyebut beberapa pengusaha kedai di Jalan Sisi, Muar, diminta menanggalkan cap dagang dalam bahasa Mandarin mereka dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu turut menambah tindakan itu berikutan pegawai yang membuat pemeriksaan mendakwa saiz perkataan tidak menepati peraturan iklan yang ditetapkan MPM.-BERNAMA