Persidangan Pemimpin Pelajar Antarabangsa Johor (JISLC) 2018 kali ke-5 di KSL Hotel dan Resort di sini hari ini melibatkan 1,300 pelajar tempatan dan antarabangsa.

Pelajar-pelajar yang menyertai JISLC 2018 berusia antara 13 hingga 25 tahun dan kebanyakan merupakan pelajar tingkatan lima, mereka membincangkan isu-isu pelajar peringkat global.

Persidangan selama dua hari anjuran Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC) bersama-sama Kementerian Pendidikan itu melibatkan pelajar luar negara dari Jepun, Itali, Yaman, Oman, Sri Lanka, Maghribi dan Filipina.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Sulaiman Wak berkata, JISLC 2018 merupakan platform terbaik bagi melahirkan golongan kepimpinan dalam kalangan pelajar di negara ini.

“Melalui penyertaan pelajar dari luar negara juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar kita untuk berkongsi idea dan pandangan secara global berke­naan isu-isu para pelajar di pering­kat global,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Sharif dan Pe­ngarah Projek JISLC 2018, Wan Haikal Wan Adlin.

Menurut Sulaiman, persidangan tersebut juga meluaskan proses berte­rusan untuk mewujudkan kepimpinan global muda yang kuat dan inovatif serta memahami nilai kepimpinan sebenar dalam masyarakat.

“Ini kerana, golongan pelajar tersebut merupakan modal insan yang berharga untuk negara sebagai pimpinan untuk genarasi akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Haikal, 17, berkata, antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan tersebut seperti isu buli di sekolah dan kesihatan pelajar.

“Isu buli di sekolah, kita bukan ha­nya melihat kepada mangsa tetapi akan membincangkan mengenai si pembuli dan latar belakangnya mengapa sikap tersebut boleh terjadi dan kenal pasti jalan penyelesaian yang boleh diambil,” ujarnya.

Tambahnya, segala hasil pembinca­ngan dan topik yang dibangkitkan dalam persidangan tersebut akan dikumpul dan diserahkan kepada Majlis Belia Malaysia dan pengerak inisatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk tindakan susulan.