Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, sehingga mendapat maklum balas daripada kerajaan, pihaknya akan meneruskan semua projek mengikut yang dijadualkan.

“Semalam saya baharu berjumpa beliau (Osman) dan ketika itu beliau hanya ingin mengetahui lebih lanjut lagi tentang JCorp.

“Kita akan dapatkan tarikh sesuai untuk memberi pembentangan secara rasmi. Ketika ini kebanyakan projek telah pun bermula.

“Projek yang berkaitan kerajaan kita akan bentang dan dapatkan pandangan. Setakat ini, kita tidak nampak tiada bercanggah dengan matlamat kerajaan,” katanya ketika di­tanya tentang peralihan kuasa kerajaan negeri selepas diambil alih oleh Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau ditemui dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge (RZSWDC) 2018 di Menara Komtar JBCC, di sini semalam.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman berkata, projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) juga masih diteruskan dan dari semasa ke semasa pihaknya akan memaklumkan bilangan unit dalam kawasan pembangunannya.

“RMMJ masih diteruskan dan itu merupakan syarat dalam setiap pembangunan yang dijalankan di negeri ini,” katanya.

Mengenai program tersebut, penganjur menerima sumbangan berjumlah RM570,000 bagi memastikan kelancaran semua program yang dijalankan.

Sumbangan diterima daripada Kulim (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, KPJ Healthcare Berhad, QSR Brands (M) Holdings dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang.

Seramai 132 murid dan pelajar dari 22 sekolah di negeri ini bakal menyahut cabaran dalam RZSWDC termasuk de­ngan menjadikan sungai sebagai sungai angkat, menjalankan kajian dan kempen kesedaran berkaitan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.