Selain berbuka puasa di kediaman sendiri dengan juadah yang dimasak mahupun yang dibeli di bazar Ramadan, pastinya antara pilihan utama adalah berbuka di hotel mahupun resort.

Memang banyak hotel dan resort yang menawarkan pelbagai pilihan menu sama ada masakan tempatan mahupun antarabangsa, namun bagi yang inginkan kelainan suasana berbuka puasa, ada lokasi yang bersesuaian untuk dikunjungi.

Selain keselesaan yang ditawarkan, Sebana Cove Resort menjanjikan persekitaran yang berbeza berbanding lokasi lain, iaitu suasana kepulauan seperti dalam filem berkaitan lanun.

Sebana Cove Resort yang terletak di Pengerang dan memakan masa kira-kira 30 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Bandar Penawar menyajikan pengalaman berbuka puasa yang menarik.

Selain persekitaran dengan pemandangan bukit yang menghijau, air laut yang membiru berserta deretan kapal yang berlabuh di jeti, pengunjung juga disajikan pelbagai pilihan menu dari pelbagai benua.

Sekali pandang pasti pengunjung menyangka berada di sebuah pulau Caribbean yang eksotik dan dipenuhi dengan suasana pengembaraan.

Pengurus Besar Sebana Cove Resort, Anthony Sabastian berkata, selain menawarkan suasana yang berbeza, pihaknya juga sentiasa mengutamakan kehendak pelanggannya.

“Bufet sempena bulan Ramadan akan dihidangkan di Boathouse Tavern bermula pukul 6.30 petang sehingga 10 malam de­ngan bayaran yang berbaloi, iaitu RM78 bagi dewasa dan RM38 untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun.

“Kami juga menyediakan tawaran istimewa bagi mereka yang membuat tempahan awal, iaitu jika mereka membayar untuk 12 orang dewasa, pelanggan dibenarkan untuk membawa tiga lagi pelanggan dewasa lain secara percuma,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagi pengunjung yang mahu menunaikan solat terawih secara berjemaah boleh berbuat demikian kerana Sebana Cove Resort turut menyediakan kemudahan surau dengan kapasiti 50 jemaah pada satu-satu masa.

Solat Maghrib, Isyak dan terawih diadakan secara berjemaah akan dipimpin oleh Ustaz Abd. Rahman Yusuf.

Justeru, andai inginkan suasana kelainan untuk berbuka puasa, Sebana Cove Resort mungkin destinasi tepat untuk dikunjungi.