Penaung Persatuan Alumni IPGKTHO, Dr. Hamzah Ihsan yang juga bekas Pengarah institut itu berkata, penukaran fungsi kepada Kolej Vokasional adalah tidak bertepatan dan tidak wajar.

“Keputusan menukar IPGKTHO kepada Kolej Vokasional adalah tidak tepat, apatah lagi hasrat Menteri Pendidikan baharu yang mahu mengecilkan saiz kelas.

“Ini bererti bilangan guru perlu ditambah di samping cadangan mewujudkan keperluan pembantu guru, siapa yang akan latih mereka. Inilah keperluan yang perlu dikekalkan dan mungkin ditambah bilangan IPG,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Alumni IPGKTHO, Halif Md. Saleh; Setiausaha Kehormat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Johor, Tee Wee Meng.

Pada majlis itu seramai 200 ahli alumni hadir memberi sokongan dan menyaksikan penyerahan memorandum kepada Alamshah Abd.Latiff selaku wakil Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr. Shahrudin Md. Salleh bagi dibawa ke peringkat lebih tinggi.

IPGKTHO yang beroperasi sejak 1992 melahirkan seramai 10,367 guru hingga dua tahun lalu yang mempunyai prasarana lengkap dan sesuai sebagai pusat latihan pendidikan guru.

Tambah Dr. Hamzah, terdapat tiga buah Kolej Vokasional di negeri ini yang sudah siap tetapi belum operasi serta tidak logik berkaitan kekurangan pusat latihan dalam bidang kemahiran.

“Malah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga bertitah agar memperkasakan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), ini menunjukkan guru-guru perlu diperkasa terlebih dahulu. Jadi, dua sahaja IPG di Johor tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Halif berkata, terdapat beberapa justifikasi utama yang perlu dipertimbang me­ngapa IPGKTHO perlu dikekalkan fungsinya seperti sedia ada.

“Di samping memiliki prasarana lengkap dan melahirkan ramai guru, IPGKTHO merupakan institusi bertaraf kampus utama di zon selatan yang berperanan sebagai pusat latihan pendidikan bagi guru pra perkhidmatan, dalam perkhidmatan dan institut penyelidikan.

“IPGKTHO juga berada di kelompok enam IPG terbaik daripada 27 IPG seluruh negara dan di kedudukan ketiga daripada enam buah IPG yang disenaraikan dalam Sains Webometrics,” katanya yang meminta agar keputusan tersebut dikaji ­semula.