Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau mendapati ada ibu bapa anak penghidap autisme yang malu untuk tampil kedepan dan mendedahkan anak mereka kepada khalayak ramai.

“Pendedahan autisme ini ma­sih agak rendah dalam kala­ngan mas­yarakat kita. Mereka agak sukar menerima kenyataan jika anak mereka mempunyai perbezaan dengan kanak-kanak lain.

“Kurangnya pengetahuan dan sikap ego sesetengah ibu bapa ini juga menyebabkan kanak-kanak ini tidak mendapat rawatan atau terapi sewajarnya bagi masalah autisme dihadapi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Autisme Pendidikan Khas dan Kesederan Kepenggunaan Daerah Segamat di Dewan Felda Redong, di sini hari ini.

Menurutnya, autisme merupa­kan sejenis gangguan perkembangan saraf otak yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak seawal usia satu hingga tiga tahun hingga menyebabkan mereka sukar menerima pelajaran seperti kana-kanak normal lain.

Katanya, kira-kira 40 hingga 70 peratus kanak-kanak autisme ini mungkin menghadapi masalah kurang upaya intelektual, 30 hingga 60 peratus menghadapi masalah kecerdasan otak (IQ) manakala kurang 10 peratus mungkin mempunyai kemam­puan IQ melebihi 110.

Ujarnya lagi, di Malaysia, terdapat modul pembelajaran khas yang ditawarkan di sekolah se­perti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memastikan perkembangan pesakit autisme ini dapat berkembang.