Pengerusi Jawatankuasa Ke­si­hatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat sudah meneliti kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan itu dan didapati bertepatan dengan dasar-dasar Kementerian Pendidikan.

“Sepatutnya larangan tersebut sudah dilakukan sejak dahulu kerana sewaktu PDP guru memang perlu memberi tumpuan terhadap anak-anak murid dan penggunaan telefon untuk tujuan peribadi dalam kelas tidak sepatutnya berlaku.

“Kerajaan negeri menyokong larangan tersebut kerana guru-guru perlu memegang amanah dengan mengajar penuh dedikasi dan itu adalah tugas hakiki mereka. Mengikut apa yang saya faham, guru-guru boleh sahaja menggunakan telefon bimbit selepas waktu PDP,” katanya.

Beliau berkata kepada pem­beri­ta selepas merasmikan Me­syuarat Agung Persatuan Ibu Ba­pa dan Guru (PIBG) dan penyampaian sumbangan bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra di sini hari ini.

Yurut hadir ialah Guru Besar SK Bandar Putra, Mohd. Yunos Abdul Rahman dan Timbalan Yang Dipertua PIBG SK Bandar Putra, Khairul Anuar Selamat.

Selasa lalu, Kamalanathan da­lam satu kenyataan berkata, guru tidak dibenarkan membawa dan menggunakan telefon bimbit dalam bilik darjah namun boleh membawanya ke sekolah dan disimpan di pejabat atau bilik guru.

Ayub yang juga juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah yakin guru-guru di ne­geri ini mempunyai pemikiran yang matang dan berpandangan jauh bagi menilai sesuatu isu.

Katanya, pengorbanan mereka itu akan memberi nilai dan kesan positif terhadap institusi pendi­dikan serta kemenjadian pelajar di negeri ini atau sebaliknya.

“Sepatutnya, bila terdapat sesuatu isu, mereka perlu rujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan bukannya terus membuat konklusi.

“Apa yang menjadi keresahan guru-guru berhubung larangan tersebut adalah lebih bersifat salah faham sahaja dan tidak perlu diperbesarkan lagi,” katanya.