Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, rakyat perlu bersyukur dengan pelbagai bantuan yang diberikan terutama dalam menyediakan peluang pendidikan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, setakat ini tidak ada sebuah negara pun di dunia menyediakan begitu banyak peluang serta bantuan kepada rakyatnya seper­ti yang dilakukan oleh negara kita.

“Jadi, saya nasihatkan agar anak-anak muda merebut peluang yang terhidang ini untuk melanjutkan pengajian ke pe­ringkat universiti atau kolej bagi mengubah ekonomi keluaga mereka,” katanya selepas majlis perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera yang disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip di Kompleks Pasaraya One Segamat, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program tersebut bakal menyediakan 50,000 tempat di lebih 40 pusat pengajian tinggi termasuk 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mahupun pemegang diploma dari 2012 hingga 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Destini Anak Bangsa, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali berkata, Johor merupakan negeri kelima bagi program tersebut selepas Sabah, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Walaupun 20 lokasi yang baru dikunjungi dan masih berbaki 36 lokasi, namun setakat ini sudah hampir 20,000 surat tawaran mengikuti pelbagai bidang pengajian telah dikeluarkan oleh institiusi yang mengambil bahagian.

“Saya harap jelajah yang memasuki tahun kedua ini mampu memberi peluang yang lebih ba­nyak kepada pelajar bumiputera lepasan SPM, STPM dan peme­gang diploma untuk melanjutkan pengajian mereka,” katanya.