Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad berkata, mereka harus tampil memberi maklumat bagi membolehkan penilaian kelayakan dilakukan sebelum mengambil tindakan susulan.

“Jika hanya berdiam diri dan menunggu bantuan tiba, keadaan ini menyukarkan pihak berwajib untuk menyalurkan bantuan kerana tiada maklumat diterima.

“Apabila mendapat maklumat dan mereka pula layak, kita akan segera me­nyampaikan bantuan yang diperlukan,” katanya selepas melawat dan menghulurkan sumbangan kepada Hapsah Abdullah, 71, di Taman Flora Height, di sini baru-baru ini.

Hapsah yang terpaksa menggunakan kerusi roda kerana menghidap sakit buah pinggang kronik menerima sumbangan wang tunai, barang keperluan harian dan ubat-ubatan daripada Pejabat Parlimen Pasir Gudang.

Warga emas itu merupakan seorang daripada tiga penerima bantuan sempena program Kayuhan Merdeka 2017 di daerah ini yang dianjurkan Pejabat Parlimen Pasir Gudang dengan kerjasama Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain Hapsah, dua lagi pene­rima ialah Fauziah Che Lah, 58, yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan jantung serta Muhammad Auaran Kutty, 71, yang menderita kanser prostat.

Normala berkata, golongan berkenaan juga disarankan agar bergiat aktif dalam memberi sumbangan dalam aktiviti kemasyarakatan sekiranya mampu berbuat demikian serta tidak mahu mereka lebih bersikap pasif.

Sementara itu, Hapsah berharap, Jabatan Kebajikan Masya­rakat (JKM) atau mana-mana pihak dapat meringankan bebannya dengan menampung kos ra­watan hemodialisis yang perlu dilakukan tiga kali seminggu.

Ketika ini kos sekali rawatan berjumlah RM13 ditanggung suaminya, Zakaria Saad, 64, yang be­kerja sebagai pengawal keselamatan kerana tidak mahu menyusahkan empat anaknya yang masing-ma­sing sudah berumah tangga.

Dalam pada itu, Muhammad yang tinggal bersama-sama iste­rinya, Khadijah Maidin, 62, yang tidak mempunyai cahaya mata dan menghidap sakit kanser prostat sejak 2012 mengharapkan bantuan kos rawatan berjumlah RM800 sebulan.

Setiap bulan dia perlu mendapatkan rawatan di klinik dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan kos tersebut ditanggungnya dan bantuan JKM RM300 sebulan tidak mencukupi.