Titah Sultan Johor, kerajaan negeri perlu berhati-hati dan tidak tunduk dengan desakan pihak luar kerana mereka tidak tahu tentang sejarah dan cara pentadbiran negeri ini.

“Baca dan fahami setiap perkara yang terkandung dalam undang-undang tubuh kerajaan Johor pada tahun 1895 yang telah menjadi asas kepada pembentukan dan kemajuan negeri Johor sehingga ke hari ini,” titahnya.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini hari ini.

Sultan Ibrahim juga mahu kerajaan negeri mengekalkan mana-mana program yang baik dilaksanakan pentadbiran dahulu malah perlu ditambah baik dan tidak dihentikan terus.

Titah baginda lagi, setiap program yang akan dilakukan perlu dibincangkan dengan semua pihak yang terlibat bagi menghasilkan satu pelan tindakan dipersetujui bersama-sama.

“Fikirkan tentang kesan jangka panjang dan implikasi kewangan yang terlibat dan bukan hanya untuk meraih sokongan politik.

“Setiap Ahli Dewan juga hendaklah bersikap terbuka dan mendengar pendapat orang lain, bukannya terus menolak segala cadangan yang tidak selari dengan kehendak politik atau kepentingan diri,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah, perubahan tampuk kepimpinan di negeri ini bukan bermakna wujudnya sebuah kerajaan baharu sebaliknya hanya barisan ke­pemimpin baharu atau ruling government.

Baginda bertitah, barisan kepemimpinan baharu itu yang mentadbir kerajaan Johor adalah dengan asas dan tujuan yang sama iaitu menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

Dalam pada itu, baginda bertitah kerajaan negeri juga perlu mengekalkan prestasi kemajuan ekonomi negeri yang tinggi de­ngan menggalakkan pelaburan dalam dan luar negara.

Titah Sultan Ibrahim lagi, bagi menggalakkan lebih banyak pelabur datang ke negeri ini beberapa perkara perlu dilakukan.

“Kerajaan perlu menyediakan infrastruktur awam yang baik, dasar yang konsisten dan insentif yang manarik,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan kerajaan negeri supaya menekankan tentang pengurusan kewa­ngan negeri yang cekap dan berhemah.

“Saya suka ingatkan supaya kerajaan mengawal perbelanjaan agar tidak melebihi hasil pendapatan yang diterima.

“Kerajaan mestilah berusaha untuk mencapai lebihan hasil atau surplus supaya mempu­nyai rizab simpanan untuk masa depan,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah, kerajaan negeri juga perlu berusaha untuk mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan beban kewangan negeri.