Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, PIBG seharusnya berperanan sebagai platform terbaik bagi ibu bapa dan guru untuk bekerjasama, berbincang, merancang aktiviti dan menyelesaikan sebarang masalah.

“Fungsi PIBG bukan sekadar jambatan antara pihak pentadbiran sekolah dengan ibu bapa, malah sebagai salah satu tunjang yang turut berperanan memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan.

“Tanggungjawab melonjakkan prestasi murid dan sekolah bukan hanya tergalas pada bahu pihak sekolah, malah turut dipengaruhi barisan kepim­pinan PIBG,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung PIBG ke-43 Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Air Panas, di sini semalam.

Beliau berkata, PIBG merupakan landasan terbaik untuk ibu bapa menyumbang kepada pembangunan anak-anak bukan sahaja dalam bidang akademik, malah kokurikulum.

Menurutnya, persatuan itu juga harus memainkan peranan untuk menarik minat ibu bapa melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

“Sumbangan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk bukan sahaja dalam bentuk kewangan, malah sumbangan berbentuk buah fikiran, tenaga dan masa turut mampu melonjak prestasi sekolah.

“Terdapat segelinitr ahli jawatankuasa PIBG yang tidak memainkan peranan mereka secara maksimum dan lebih malang tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah,” katanya.