Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad berkata, ini kerana anak-anak istimewa tersebut mempunyai kelebihan dan bakat tersendiri yang boleh digilap dan diketengahkan.

“Apa yang penting ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini jangan sesekali rasa malu kerana anak itu adalah kurniaan Allah SWT yang perlu kita jaga sebaiknya.

“Jangan sesekali abaikan mereka sebaliknya bimbinglah mereka mengikut keupayaan dan kelebihan yang ada pada diri anak-anak istimewa ini,” katanya selepas merasmikan Program Saranan Ibu Bapa Linus Pendidikan Khas peringkat negeri 2017, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Susila Ahmad; Timbalan Ketua, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan negeri, Ahmad Faidzul Mat Jazid serta Naib Pengerusi 2 program berkenaan, Mohammad Jaafar.

Normala berkata, seperti anak-anak normal, anak-anak istimewa juga perlu dihantar ke sekolah bagi mendapat pendidikan yang sempurna.

“Kerajaan menyediakan banyak kemudahan untuk golongan ini, justeru ibu bapa tidak perlu gusar untuk menghantar anak-anak istimewa ini ke sekolah.

“Dari situ kita boleh melihat apa kelebihan dan kecenderungan anak-anak istimewa ini yang boleh kita cungkil dan perkembangan demi masa depan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat untuk sama memainkan peranan termasuk memberi sokongan moral kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa.