Kegiatan tersebut bukan sahaja aktiviti riadah menjaga kesihatan tetapi dapat mengerat­kan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat mahupun antarabangsa.

Justeru, tidak hairan apabila peluang menyertai program berbasikal semakin mendapat sam­butan selain merupakan satu cara terbaik untuk merehatkan minda setelah penat bekerja.

Ini kerana berbasikal bukan sahaja mampu melahirkan pe­ngayuh yang sihat malah lebih mencabar apabila mereka terpaksa menempuh pelbagai hala­ngan dan dugaan ketika kayuhan.

Semua itu dapat dirasai dan disaksikan dalam Program Ka­yuhan Muhibah Berbasikal ‘Tour The Karimun Promotion’ Gunung Muntahak 2017 di Bandar Petri Jaya, dekat sini baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Pelanco­ngan Kabupaten Karimun, Indonesia, Zaini Salleh mengetuai 65 ahli Kelab Berbasikal Karimun (KCC) menyertai program tersebut dengan jarak sejauh 20 kilometer.

Kayuhan muhibah ke kaki Gunung Muntahak itu juga melibatkan 85 peserta termasuk 10 peserta dari Pejabat Daerah Kota Tinggi dan 10 lagi dari Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Pelepasan kayuhan berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki merangkap Timbalan Speaker Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Johor.

Yang turut hadir Pengurus Bahagian Pelancongan Kejora, Abd. Rahman Muri; Penolong Pegawai Daerah, Zairul Adilla Zani dan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tenggara, Zulkeri Yusof.

Menurut ­Zaini, beliau amat tertarik dengan aktiviti berbasikal yang sudah menjadi hobinya sejak kecil dan se­mangat cintakan sukan lasak itu ditunjukkannya dalam program tersebut.

“Berbasikal merupakan aktiviti yang ringkas dan hanya memerlukan daya tahan yang cukup. Ini sudah memadai untuk seseorang itu untuk berbasikal.

“Banyak kenangan dan faedah yang diperoleh sejak saya mula menyertai aktiviti ini terutama dengan kumpulan KCC ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan.

Dalam pada itu, Baderi berkata, melalui aktiviti sebegini peserta dapat mempelajari pelbagai kemahiran seperti komunikasi yang sememangnya diperlukan dalam kehidupan harian.

“Program ini perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja mempo­pularkan pelancongan di wilayah Kejora tetapi memberikan galakan dan pendapatan kepada penduduk sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahman Muri berkata, program dua hala itu bertujuan melihat potensi pelancongan yang boleh dihubungkan antara Karimun dan Kota Tinggi serta negara umum­nya.

“Program pertama kali diadakan itu diharap dapat menggambarkan jalinan hubungan dua hala dan diteruskan. Insyaallah kita akan membuat kunjungan balas ketempat mereka tidak lama lagi” katanya.