Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mahu melihat negeri ini dipacu dan digerakkan de­ngan aktiviti yang dijalankan oleh masyarakat dan bukan kerajaan semata-mata.

Menjadi harapan beliau dan kerajaan supaya Johor menjadi negeri yang memiliki ciri dan sistem nilai yang baik dengan salah satunya menerusi amalan kesukarelaan.

“Amalan ini perlu menjadi satu perkara besar dan utama yang bukan dilakukan secara semberono atau bermusim. Biar ia menjadi gaya hidup, menjadi sesuatu yang cool bukan sahaja untuk gene­rasi muda, malah kepada semua pihak,” katanya semasa melancarkan Pertubuhan Ihsan Johor di KSL Hotel dan Resort, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Ja­watankuasa Belia, Sukan, Ke­budayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Se­tiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Presiden Pertubuhan Ihsan Johor, Suhaimi Salleh.

Mohamed Khaled turut memberitahu, kerajaan negeri bakal menyumbangkan 50 buah rumah bagi golongan memerlukan yang ditimpa musibah menerusi pertubuhan tersebut dengan 20 rumah akan dibina tahun ini dan selebihnya tahun depan.

Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan mempunyai pe­ranan untuk mengajak golongan belia supaya bersama-sama terlibat dalam aktiviti yang melibatkan persekitaran mereka bersama masyarakat.

“Tidak ada mana-mana ma­syarakat yang boleh memiliki kesejahteraan hidup jika mereka mengamalkan sikap individualistik dan mementingkan diri.

“Ini kerana erti sebenar kehidupan adalah sejauh mana kita mampu memberi semula kepada masyarakat,” katanya.