Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu itu melibatkan SRI dengan pihak yang bertanggungjawab iaitu Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Keputusan dibuat MAINJ mengenai sekolah tersebut juga tidak seharusnya dinilai mengikut sentimen. Tahu betul-betul (fakta dan kebenaran). Jangan ikut sentimen.

“Saya difahamkan yang menyewa itu banyak masalah...tak menepati apa semua (perjanjian dengan MAINJ). Jadi MAINJ pun dah beri banyak masa untuk notis untuk keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Prihatin Masyarakat Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Johor Jaya di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Pre­siden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong merangkap Pengerusi MCA negeri; Ahli Parlimen Tebrau, Khoo Soo Seang; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdaga­ngan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong yang juga Pengerusi YSF dan Pengerusi MCA Bahagian Pasir Gudang, Datuk Tan Cher Puk.

MAINJ sebelum ini mengarahkan SRI berpindah ke satu lokasi baharu sebelum 31 Disember ini dan mahukan kawasan itu dikosongkan sebelum diserahkan kepada Perbadanan Islam Johor (PIJ).

Pihak MAIJ memberikan notis mengosongkan tanah itu pada tahun lalu untuk memberi laluan kepada PIJ membina sebuah kondominium di atas tapak sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, SRI tersebut memohon tempoh itu dipanjangkan tiga hingga lima tahun lagi untuk mencari lokasi baharu sebelum diserahkan kepada PIJ untuk merealisasikan projek berkenaan.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRI terbabit kemudian me­lakukan gerakan mengumpul tandatangan mendapatkan sokongan Menteri Besar, orang ramai, guru dan bekas pelajar supaya tidak berpindah hingga isu itu menjadi tular dalam media sosial.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, pihak sekolah terikat dengan perjanjian sewaan dan perkara tersebut sedah tentu melibatkan kontrak.

“Jadi majlis agama nak ba­ngun dan jayakan wakaf atas nama Tunku Ampuan Mariam sebagaimana tanah itu diwakafkan. itu sahaja,” katanya.