Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tumpuan dan pembelaan peneroka di Johor terus diutamakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

“Saya boleh mengesahkan mereka memberi tumpuan dan pembelaan sebaiknya kepada warga Felda di Johor dan khususnya di Sembrong terutamanya untuk pastikan warga Felda terbela.

“Tetapi, ini tak bermakna kita anggap isu itu remeh, saya harap diselesaikan dengan telus dan mereka yang didapati bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan,“ katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan van sekolah dan replika cek subsidi tambang bas sekolah di Ladang Kekayaan, Paloh di sini, sebentar tadi.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri termasuk membantu 1,044 daripada 2,285 peneroka di Sembrong menerima geran tanah masing-masing.

“Malah, kerajaan negeri juga mengambil alih pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua 65 buah sekolah agama di seluruh Felda dalam Johor dengan kos RM1.03 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE