Simposium yang akan berlang­sung selama dua hari bermula 3 Oktober depan itu bakal menampilkan barisan pemimpin korporat terkemuka dan pihak berkepentingan untuk berkongsi perkembangan terkini di wilayah berkenaan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskan­dar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, penganjuran simpo­sium tersebut juga diyakini dapat membina sinergi untuk wilayah itu terus mampu menarik pelbagai pelaburan.

Menurutnya, platform itu juga sejajar usaha merealisasikan Iskandar Malaysia sebgai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa.

“Kita sentiasa mengalu-alukan pelabur baik dari dalam mahu pun luar negara ke Iskandar Malaysia dan menerusi simposium yang akan dianjurkan itu, kita mahu terus memperkukuhkan ke­dudukan wilayah tersebut sebagai tempat pelaburan pilihan.

“Iskandar Malaysia menerusi Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDPii) sudah bersedia menghadapi apa jua cabaran global dalam memastikan visi wilayah itu dapat direalisasikan apabila capai tempoh matang pada tahun 2025,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman penganjuran simposium itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Ekonomi dan Pelaburan IRDA, Engku Ahmad Kamel.

Simposium anjuran IRDA dengan rakan strategik Johor State Investment Centre (JSIC) itu turut mendapat kerjasama dan penajaan daripada 14 syarikat yang menjadi pemain utama di Iskandar Malaysia.

Ismail berkata, simposium yang adakan di Hotel Phoenix Forest City itu akan menjadi platform menghimpunkan pelbagai pemimpin korporat, pelabur, pengamal profesional dari sektor awam dan swasta selain pemimpin dari dalam dan juga luar negara.

Tambahnya, simposium kali ini juga tertumpu kepada tiga teras utama iaitu ekonomi digital, pelaburan dan persekitaran yang mesra alam dengan 500 penyertaan disasarkan diterima pihaknya bagi menyertai program tersebut.