Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Mohd. Rofiki Shamsudin berkata, tapak bangunan IASWJ tersebut akan dibina di kawasan seluas kira-kira empat hektar yang juga bakal berfungsi sebagai pusat rujukan untuk fahaman ASWJ.

“Ini adalah langkah MAINJ untuk memperkasakan IASWJ dan ini merupakan penubuhan kedua selepas di Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) di Batu Pahat sejak mula beroperasi pada 2012.

“IASWJ ini juga merupakan institut penyelidikan dan perundingan dalam pelbagai bidang yang berkaitan ASWJ melalui pendekatan holistik melahirkan modal insan ASWJ yang kompetan dan berintegriti,” katanya kepada pemberita selepas Program Khidmat Masyarakat Insaniah dan Forum Perdana Zakat di Balai Raya Kampung Lubok Kepong, dekat sini hari ini.

Untuk rekod, idea Penubuhan IASWJ tercetus apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah dalam majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Johor sempena hari keputeraan baginda pada 27 Mac 2012 supaya Johor menyediakan satu institusi atau pusat sumber Islam terutama berdasarkan pegangan ASWJ.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MAINJ masih belum menerima sebarang rayuan daripada 16 individu yang dilarang memberi ceramah atau mengajar Islam di negeri ini selepas keputusan tersebut diumumkan baru-baru ini.

“Mungkin perkara ini (larangan berceramah) masih baharu lagi namun pihak kami memandang serius ancaman akidah di negeri ini termasuk aktiviti memberi ceramah dan menyebarkan fahaman yang tidak sealiran dengan ASWJ,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu rakyat di negeri ini terkeliru dan mereka yang melihat sebarang aktiviti bercanggah dengan Islam khususnya ajaran ASWJ supaya terus melaporkan kepada MAINJ untuk tindakan.

Sementara itu, beliau berkata, MAINJ memperuntukkan RM40 juta sepanjang tahun lalu untuk 3,000 pesakit buah pinggang di seluruh negeri yang memerlukan rawatan dialisis berikutan mereka datang daripada golongan kurang berkemampuan.

Pada masa sama, beliau berharap bilangan pembayar dan jumlah kutipan zakat akan meningkat selepas ini bagi membolehkan ke­semua lapan golongan asnaf di ne­geri ini dapat terus dibantu.