Ketua Pegawai Eksekutif Maj­lis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Abdul ‘Alim Abd. Shukor berkata, penelitian yang cermat dan jelas perlu dilakukan untuk melihat apa yang perlu berubah dan dikekalkan agar ins­titusi tahfiz berjaya mencapai objektif dan sasarannya.

“Jangan yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong akan berciciran. Kerajaan akan rugi kerana telah membelanjakan peruntukan yang besar dan masyarakat pula tidak boleh mendapat faedah daripada program yang telah terlaksana itu.

“Institusi tahfiz perlu memberi fokus ke atas prinsip utama untuk melahirkan huffaz yang jika digabungkan dengan disip­lin ilmu lain, tidak akan hilang ilmu al-Quran yang tersemat dalam jiwa mereka,” katanya ketika merasmikan majlis Khatam Hafazan al-Quran sesi 2018 di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Marsah, Dr. [email protected] Som Sujimon.

Dalam pada itu, Abdul Alim berkata, Marsah telah bergerak seiring dengan institusi penga­jian tinggi lain termasuklah dalam memenuhi tuntutan dan keperluan masyarakat terhadap peluang pendidikan pengajian Islam.

“Antara lain, Marsah telah mengorak selangkah ke hadapan dengan membina satu sistem jaminan kualiti bagi standard tahfiz al-Quran di mana usaha murni ini telah dilakukan dengan kerjasama MAINJ, Marsah dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Standard diberi nama Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) ini antara objektifnya ialah menjadi pemantau serta mengawal selia institusi pendidikan yang menawarkan bidang tahfiz al-Quran sama ada di peringkat rendah dan menengah,” katanya.

Katanya, Marsah juga mewujudkan satu program Persijilan Tahfiz Marsah yang mana ditawarkan kepada mana-mana pelajar yang berada di kuliah-kuliah selain tahfiz yang berhajat menjadikan pendidikan tahfiz sebagai disiplin ilmu elektif di samping disiplin ilmu.

“Mereka boleh mengikuti program ini ketika berada di mana-mana semester kerana tidak diwajibkan menghafaz 30 juzuk.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa Marsah akan menjalankan satu lagi program iaitu Program Sijil Kemahiran Tahfiz semasa cuti panjang sementara anak-anak menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan,” katanya.