Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, kebiasaannya ba­ra­ng­an yang kerap mendapat permintaan tinggi sepanjang musim perayaan ini adalah kelapa.

“Setiap kali raya barangan yang sering diperlukan adalah kelapa, jadi memang kita kena bawa (bekalan) dari luar. Untuk keperluan lain biasanya kita perlu periksa dahulu adakah perlu diimport atau tidak.

“Apa yang penting kita pastikan pengagihan bahan-bahan ini berjalan lancar. Keseluruhannya, tidak perlu khuatir, bahan-bahan mentah untuk musim perayaan ini tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhkbar selepas majlis perasmian program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri di Pasar Tani Datin Halimah di sini semalam.

Yang turut hadir oleh Pengarah FAMA Negeri, Zainal Abidin Yang Razali.

Sahruddin berkata, bahan mentah yang diimport juga akan menjalani proses kawalan bagi memastikannya tidak membawa sebarang mudarat serta berlaku penyebaran penyakit.

“Barangan import ini saya ambil contoh kelapa, biasanya kita ambil dari Indonesia atau Thailand. Tapi perlu dikawal sebab kita mahu pastikan aspek kebersihan sentiasa diambil kira selain yakin tidak menyebarkan penyakit di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri yang memulakan operasinya hari ini sehingga 14 Jun ini, be­liau berkata, itu merupakan usaha baik dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos bahan mentah yang tinggi.

“Program ini akan dilaksanakan di 15 pasar tani seluruh Johor yang membabitkan 475 peniaga.

“Objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barang ke­perluan menjelang Hari Raya Aidilfitri di pasar tani dengan harga lima hingga 20 peratus lebih rendah,” katanya.