Dengan kemenangan itu, Nasir yang berasal dari Sungai Tiram membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 berserta hamper.

Pertandingan yang mema­suki edisi kelima anjuran Johor Corporation (JCorp) menerusi Kulim (Malaysia) Berhad dan Pejabat Daerah Kota Tinggi yang berlangsung di Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail (Nam Heng), dekat sini disertai lebih 100 pemancing yang menaiki 75 bot.

Cabaran yang bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Fizwan Rashidi.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pertandingan berkenaan bertujuan mempromosi serta memperkenalkan Kulim Eco Trail Retreat sebagai sebuah destinasi pelancongan eko yang terulung di negeri ini.

“Penganjuran pertandingan juga menjadi satu daripada tanggungjawab korporat JCorp menerusi Kulim (Malaysia) Berhad dalam usaha mengajak lebih ramai masyarakat beriadah dengan cara sihat sambil berkongsi idea dan pendapat berkenaan potensi Sungai Johor yang dilihat mempunyai pelbagai produk yang boleh dikomersialkan ke peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya dalam satu ke­nyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Abdullah dari Ladang Basir Ismail yang berjaya menaikkan siakap seberat 1.23 kg meraih tempat kedua, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga dimenangi Jafar Shahadan juga dari Sungai Tiram yang menjinakkan sembilang seberat 1.19 kg dan meraih hadiah wang tunai RM1,000.

Sebuah motosikal yang ditawarkan sebagai hadiah utama cabutan nombor bertuah pula menjadi milik Muhammad Fa­riez Alimintono dari Kampung Tenang, Sungai Tiram.