Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, satu daripada faktor tersebut adalah isu pelepasan ikan bukan asli ke beberapa su­ngai di negeri ini.

“Masalah ini memberikan kesan kepada nelayan darat kerana pelepasan ikan keli Afrika secara berleluasa menjadi topik hangat sejak dahulu disebabkan ia telah mengancam hidupan lain.

“Justeru, saya meminta orang ramai menghargai sumber perikanan semula jadi yang terdapat di sungai kita,” katanya ketika merasmikan program Pelepasan Benih Ikan dan Penyerahan Touch Point Kepada Nelayan Darat di Pusat Eko Pelancongan Pulau Durian Chondong, di sini, baru-baru ini.

Sebanyak 30,000 ekor ikan baung dan 20,000 ekor udang dilepaskan ke Sungai Muar dalam program tersebut bagi memastikan kelestarian sumber perikanan sungai lebih terjamin.

Sementara itu, ujar Ismail, tindakan sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab dan rakus menangkap ikan dengan cara yang salah serta sesuka hati juga menyumbang kepada masalah keku­rangan berkenaaan.

“Saya harap jangan ada golo­ngan yang bertindak sesuka hati menangkap ikan menggunakan kaedah salah seperti menggunakan renjatan elektrik, racun atau tuba dan juga ada yang gunakan bahan letupan iaitu bom kerana kesannya amat buruk kepada sumber perikanan darat yang akan mengalami kepupusan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang dalam pada itu menghargai dan menyokong inisiatif Jabatan Perikanan kerana sentiasa berusa­ha melakukan kaedah pemuliharaan.