Difahamkan, keluarga Norlaila Abdullah, 34, kini tinggal sehelai sepinggang selain tidak mempunyai belanja untuk mendapatkan barangan keperluan asas dan peribadi.

Lebih malang, kejadian itu menyebabkan Norlaila yang juga saudara baharu tidak dapat menghantar semua anaknya ke sekolah kerana semua kelengkapannya musnah dalam kebakaran itu.

“Kejadian kebakaran itu berlaku pada hari Jumaat, 4 Januari lalu, ketika itu saya memang ada sediakan sedikit kelengkapan untuk anak ke sekolah. Tetapi ketika kebakaran itu berlaku, saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

“Sekarang kami tiada apa-apa yang tinggal, hanya pakaian sepersalinan, nasib ada sedikit sumbangan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui di pasar raya Econsave Taman Desa Cemerlang di sini.

Norlaila menerima sumbangan baucar pembelian barangan bernilai RM1,000 di pasar raya berkenaan.

Dia berterima kasih kepada pihak pengurusan Econsave kerana bantuan tersebut yang disifatkan amat bermakna dan begitu meringankan beban mereka.

“Bantuan ini juga cukup untuk saya beli barangan elektrik sedikit seperti kipas dan periuk nasi. Lebihnya boleh beli baju dan kasut sekolah kepada anak saya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kesukaran yang dilalui ibu tunggal tersebut daripada salah seorang pelanggan mereka.

“Ada orang beritahu yang keluarga ini memang tengah susah. Kita di Econsave memang ada peruntukan untuk golongan ini dan tidak menunggu lama untuk mencarinya.

“Kami berikan mereka RM1,000 dalam bentuk baucar, jadi apa jua barangan mereka boleh dapatkan di pasar raya ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti kebajikan Econsave Wilayah Selatan bagi tahun ini, beliau memberitahu, seba­nyak RM100,000 sudah diperuntukkan untuk kegunaan berkenaan.