Rosrahmah, 55, tidak menduga akan menerima pengikitirafan tertinggi itu dan lebih manis lagi disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengimbas kembali kerja-kerja kesukarelawan yang dilakukan 20 tahun lalu, beliau memberitahu terlalu banyak cabaran terpaksa ditempuh bagi membantu golongan memerlukan bantuan.

“Antaranya menolong warga usia emas, mereka yang menghidapi penyakit kronik berpanjangan, golongan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan sokongan masyarakat sekeli­ling.

“Sebagai sukarelawan JKM, kita diberikan banyak pendedahan dan maklumat bagi melakukan kerja-kerja sukarela dengan penuh ikhlas selain simpati kepada golongan yang dibantu,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas diraikan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai di Dewan Orang Ramai Kampung Parit Rambai Hilir di sini semalam.

Rosrahmah berkata, sebelum ini beliau menerima anugerah yang sama bagi peringkat nege­ri di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada September lalu.

“Syukur Alhamdulillah, saya tidak pernah meminta untuk masyarakat mengiktiraf kerja-kerja yang saya lakukan selama ini. Semuanya dilakukan kerana minat yang dipupuk sejak kecil oleh keluarga,” ujar ibu tunggal kepada lima anak itu.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Zarina Mohd. Bain berkata, pihaknya bangga dengan pencapaian diraih Rosrahmah yang merupakan Ketua Wanita UMNO Cawangan Telok Kerang.

Katanya, walaupun sibuk dengan tanggungjawab sebagai ibu dan ketua keluarga, namun beliau masih mempunyai masa membantu masyarakat yang memerlukan khidmat kesuka­relaan.

“Rosrahmah atau Kak Ros merupakan ikon dan kebanggaan golongan wanita bukan sahaja di Parlimen Tanjung Piai tetapi di Pontian.

“Ini kerana sumbangan dan jasanya selama lebih 20 tahun telah menerima pengiktirafan kerajaan pusat,” jelasnya.