Asmah Limat, 62, mendakwa dia terpaksa melangsungkan perkahwinan anaknya pertengahan bulan ini di sebuah dewan di pekan Tenang Stesen yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya.

“Saya sudah tinggal di kawasan ini selama 17 tahun dan menggunakan air perigi yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah untuk memasak, membasuh dan mandi kerana tidak mempunyai bekalan air yang disalurkan SAJH.

“Selain kos elektrik yang tinggi untuk mengepam air ke tangki, saya juga mengalami masalah air perigi tersebut tidak jernih dan tidak sesuai untuk digunakan untuk minum dan memasak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dia terpaksa mengangkut air untuk minum serta masak makanan dari rumah anaknya yang tinggal di Taman Te­nang dan Kampung Sa­­wah Baru yang ter­letak beberapa ki­lometer pada se­tiap hari.

Kata­nya, ma­sa­lah itu turut diha­dapi anaknya, Mohd. Isa Atan, 38, yang rumahnya terletak ki­ra-kira 00 meter dari kediamannya serta sebuah lagi rumah jiran tetapi kosong kerana ketiadaan bekalan air walaupun rumah itu sudah lama siap.

Sementara itu, Mohd. Isa merayu pihak berkaitan terutama SAJH agar mengambil langkah menyambung paip utama dari Kampung Seri Tuah yang terletak tidak sampai dua kilometer dari kawasan tersebut bagi membolehkan mereka mendapat bekalan air bersih.

“Seperti juga ibu saya, saya terpaksa mengali perigi dan mengepam air ke tangki rumah. Saya terpaksa membelanjakan sebanyak RM2,000 untuk membeli pam elektrik serta paip bagi memastikan kami dapat menggunakan air,’’ ujarnya.