Nor Aslindah, 47, membawa pulang wang RM10,000 setelah mengalahkan lapan peserta yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan tersebut.

“Usaha saya tidak sia-sia ia mendatangkan satu nostalgia dan rasa syukur kerana permulaan untuk membuat biskut tart adalah semata-mata untuk membesarkan anak-anak yang masih di bangku sekolah.

“Alhamdulillah jika 10 tahun lalu, saya hanya mampu membuat biskut tart secara kecil-kecil­an dan memasarkan secara menjaja dengan kenalan namun kini produk saya sudah memasu­ki pasar raya, kompleks beli-belah, restoran dan kedai runcit,” katanya.

Ibu tunggal kepada empat anak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Tart Nanas Ikon Johor sempena Sambutan 60 Tahun Lembaga Perusahaan Nanas Malaysia (LPNM) di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Naib johan dimenangi, Rokiah Abu Bakar manakala tempat ketiga dimenangi Asri Mohamad Rashid.

Hadiah pemenang disampaikan Pengerusi LPNM, Datuk Samsol Bari Jamali.

Menerusi kemenangan itu, Nor Aslindah yang menggunakan jenama tart Chommel Delight berhasrat mengembangkan perusahaannya bagi memenuhi pasaran tempatan dan seluruh negeri.

“Untuk tujuan tersebut saya perlukan sebuah bengkel dan peralatan terutama mesin pembancuh dan pencetak. Buat masa ini saya menjalin kerjasama de­ngan Hospital Permai di Kempas sebagai bengkel untuk mengusahakan biskut tersebut.

“Saya yakin sekiranya memiliki bengkel, mesin dan peralatan lengkap, perusahaan ini mampu pergi lebih jauh hingga ke Singapura dan seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, Samsol Bari berkata, sebagai mengiktiraf kejayaan Nor Aslindah, produknya akan dijadikan cenderamata kerajaan negeri daripada produk berasaskan pertanian.

Mengenai Bajet 2018, Samsol Bari berkata, peningkatan peruntukan sebanyak 80 peratus untuk LPNM daripada RM14 juta pada tahun ini kepada RM25 juta tahun depan menunjukkan keyakinan kerajaan bahawa industri nanas merupakan perusahaan yang menguntungkan.