Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, masyarakat tidak harus melihat kekurangan yang ada pada golongan tersebut, sebaliknya berusaha mencari ke­lebihan yang mereka miliki.

“Setiap insan dilahirkan de­ngan anugerah kelebihan dan kekurangan tersendiri dan anak-anak istimewa ini juga sudah pasti mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja kepada diri, malah untuk masyarakat.

“Saya percaya, jika kita dapat berganding bahu untuk membimbing mereka, tidak mustahil golongan ini mampu berdikari dan menjalani kehidupan normal,” katanya semasa menghadi­ri Jamuan Salam Mesra Aidilfitri Pusat Dalam Komoniti (PDK) Seri Impian Labis, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 50 pelatih PDK tersebut turut menerima duit raya yang disampaikan oleh Pengerusi PDK ber­kenaan, Tuty Roshizana Tumin.

Dalam masa sama, Mohd. Azahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Labis turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak ‘menyorokkan’ anak mereka yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

“Ibu bapa tidak harus mempunyai sifat malu kerana dianuge­rahkan anak berstatus OKU sehingga mereka tidak menghantar anak tersebut untuk mendapat pendidikan di PDK.

“Ibu bapa harus sedar bahawa anak OKU juga mempunyai hak untuk mendapat pendidikan dan tindakan ‘menyorokkan’ adalah tindakan menzalimi mereka,” katanya.