Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, walaupun pada asalnya penubuhan pasukan tersebut bertujuan menjaga ketenteraman awam, namun turut mampu digunakan sebaiknya sebagai persiapan menghadapi banjir.

“Pasukan Life Strike Force sebelum ini bersedia untuk sebarang krisis bagi isu membabitkan ketenteraman awam, namun kita telah menambah peranan­nya sekiranya berlaku bencana banjir.

“Pasukan ini bersedia untuk ditempatkan di mana-mana daerah yang terjejas akibat banjir,” katanya selepas merasmikan Rumah Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Mohd. Khalil berkata, bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini, pihaknya menerusi Perkep juga bersedia dalam membantu memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana alam itu.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada kepelbagaian peranan Perkep. Institusi ini turut memainkan peranan yang sangat penting kepada masyarakat.

“Jika kita melihat insiden Bukit Kepong, isteri anggota serta pegawai polis memainkan peranan mereka dalam membantu tugas suami berkhidmat kepada negara,” katanya.

Yang turut hadir Pengerusi Perkep Kontinjen Johor, Datin Radziah Zakaria.

Mengulas Rumah Perkep, Mohd. Khalil berkata, premis tersebut menjadi lokasi pe­nganjuran pelbagai aktiviti persatuan dalam memperkasakan institusi kekeluargaan dalam kalangan anggota polis.

“Seperti kita sedia maklum, tugas yang dipikul oleh anggota polis berat. Justeru, masa untuk bersama-sama keluarga adalah amat terhad dan kita yakin dengan adanya rumah ini dapat mengeratkan hubungan keluarga, sekali gus melahirkan keluarga bahagia,” katanya.